Apabila timbul berita ADUN Hutan Melintang, S.Kesavan keluar dari PKR menerusi surat yang diserahkan kepada Speaker DUN Perak, PKR menjadi begitu kelam-kabut.
Beberapa orang pemimpin penting PKR segera menyusul S.Kesavan dan mendesaknya agar menyatakan bahawa surat tersebut adalah palsu dan S. Kesavan tidak keluar parti sebagaimana yang disebutkan dalam surat berkenaan.
Anehnya, surat keluar parti pun, diserahkan kepada Speaker DUN?
Pejabat Speaker sudah pun mengesahkan penerimaan surat berkenaan namun boss PKR Perak, Mohamad Nor Manuty enggan memberikan sebarang komen dengan alasan, dia tidak tahu menahu tentang hal tersebut. Biarpun Kesavan sudah lama bermasalah dengan parti yang dianggotainya sendiri, ternyata usaha untuk menutup aib terus dilakukan sehingga pada saat-saat akhir.
Lebih menarik lagi ialah apabila lewat petang tadi, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil membuat pengisytiharan bahawa Kesavan tidak keluar dari parti bahkan mengumumkan bahawa surat tersebut adalah palsu. Kononnya Kesavan tidak pernah menghantar surat tersebut dan tidak pernah berniat untuk keluar parti. Kesavan juga telah diminta oleh PKR untuk membuat laporan polis.
Justeru, untuk mengukuhkan lagi dakwaan bahawa surat tersebut adalah palsu, satu sidang media akan diadakan di Wisma Keadilan Ipoh pada jam 10:00 pagi esok oleh PKR Perak dan Kesavan sendiri.
Itu merupakan satu lagi drama yang dipentaskan oleh PKR sempena menjelang PRK DUN Kajang. Satu lagi drama yang dibuat untuk terus meletakkan kesalahan kepada UMNO. Drama yang dipaparkan untuk umum demi memperlihatkan bahawa UMNO dan Barisan Nasional sangat terdesak sehingga terpaksa mereka-reka surat palsu keluar parti.
Begitulah hayat PKR yang masih berterusan menerusi sandiwara-sandiwara politik yang mereka lihat seringkali disambut dan kemudian disensasikan oleh kem Barisan Nasional sendiri.
Drama-drama murahan sebegini masih terus dimainkan oleh PKR dan anehnya, masih juga laku. Bermula dari tahun 1998 sehinggalah kini, jumlah surat palsu yang membabitkan PKR, Anwar Ibrahim dan watak-watak dalam parti tersebut, cukup banyak. Lebih menariknya, segala kesimpulan kemudiannya dihalakan kepada UMNO dan Barisan Nasional.
Ironinya, segala tohmahan tersebut diterima dan persepsi bahawa segala elemen-elemen negatif yang membabitkan PKR dan Pakatan Rakyat, semuanya adalah konspirasi dan hasil ciptaan UMNO-BN.
Sehinggakan kes liwat yang merupakan kes jenayah juga, dikatakan konspirasi UMNO. Sehinggakan segala bukti yang dinilai oleh mahkamah dan kemudiannya diterima, juga dikatakan sengaja direka-reka dan dicipta oleh UMNO.
Mungkin di sini, kita perlu menerima hakikat bahawa UMNO-BN terlalu naif dengan permainan-permainan sandiwara yang melibatkan Pakatan Rakyat, khususnya PKR dan DAP.
UMNO terutamanya terlalu banyak memberikan tumpuan kepada PAS yang merupakan saingan terkuat parti tersebut sehingga mengabaikan keberadaan PKR dan DAP yang merupakan pemangkin dan penyokong kepada kekuatan PAS.
UMNO mungkin pakar dalam menangani serangan PAS, tetapi UMNO dan Barisan Nasional tidak pernah berusaha memahirkan diri atau memahami corak serangan yang dilancarkan oleh PKR dan DAP.
Disebabkan itulah, sebarang serangan hatta serangan yang paling kecil daripada PKR dan DAP pun, UMNO dan Barisan Nasional gagal untuk menepis, menangani atau menyanggah.
Drama keluar parti oleh S. Kesavan merupakan satu lagi bukti kegagalan fungsi strategik UMNO dan Barisan Nasional. Ramai yang melihat perkembangan ini dan bersetuju ini merupakan satu lagi serangan saraf untuk melemahkan UMNO dan Barisan Nasional dalam perebutan mendapatkan kerusi DUN Kajang, meskipun UMNO tidak akan menghantar calon untuk bertanding dengan Anwar Ibrahim di kubu kuat PKR itu.
Terlalu banyak kegunaan drama yang dipentaskan oleh PKR itu. Dan yang sudah pastinya, drama terbaru ini merupakan penambah rasa dalam kemelut pertikaian antara PAS-PKR-DAP berhubung PRK DUN Kajang dan digunakan untuk menyatukan ketiga-tiga parti tersebut dengan menjadikan UMNO sebagai kambing hitamnya!
MyKMU
MyKMU
Post a Comment
Mohon Pautkan Link & Saya Akan Pautkan Semula :D