Kota Pariaman – KEGIATAN kesukarelaan bukan hanya bersifat memberi bantuan barangan makanan dan minuman atau membersihkan kawasan sampah sarap sebaliknya ianya lebih dari itu.
Kewujudan Malaysia Youth Volunteer Community (MyVOC) dilihat membawa perubahan dalam dunia kesukarelaan apabila gerakan kemasyarakatan yang dilakukan berdasarkan kemahiran dan kepakaran individu.
Untuk itu, sempena Kembara ASEAN 2015 kerjasama KBS-MBM-UMP, Sukarelawan MyVOC telah berjaya menyiapkan renovasi ringkas dua buah surau di Sekolah Menengah Kejuruan Global Pariaman di sini.
Warga sekolah begitu teruja dan gembira apabila dapat melaksanakan ibadah dalam suasana yang lebih selesa dan ceria.
”MyVOC memerlukan lebih ramai belia berkemahiran dalam pelbagai bidang untuk menyertai pasukan ini. Antara kepakaran atau kemahiran yang diperlukan semasa bencana atau gerakan kemanusiaan ialah kemahiran bidang masakan, elektrik, automotif, kimpalan, binaan bangunan, jurupaip, motorsikal, kejururawatan, pendidikan awal kanak-kanak dan banyak lagi,” kata Saudara Rizan Hassan, Ketua Penerangan MBM yang mengetuai misi ini. Misi ini turut di sertai oleh Saudara Hasnul Hanif Harun, Exco MBM.
Menurut beliau lagi, KBS dan MBM kini sedang giat menjelajah ke seluruh negara untuk menarik minat belia berkemahiran menyertai MyVOC.
Katanya lagi, akan tiba satu ketika nanti sukarelawan yang berada di lapangan akan lebih fokus dan berperanan seterusnya usaha menghakis stigma kesukarelaan adalah sebuah program akan berjaya.
”Kesukarelaan bukan satu program. Ianya adalah budaya dan gaya hidup yang semua orang perlu lakukan pada setiap hari”, tegas beliau.- youthcharacter.net
Post a Comment
Mohon Pautkan Link & Saya Akan Pautkan Semula :D