POKOK SENA – Maahad Tarbiah Islamiah Derang menarik nafas lega apabila terpilih untuk progam menambah baik sistem pendawaian elektrik di premis-premis pusat pengajian Islam itu yang dikhuatiri kurang selamat untuk dihuni sebelum ini.
Penolong Pendaftar Maahad, Ustaz Zul Azri Mohd Sani menzahirkan rasa syukur dengan khidmat sukarelawan yang terdiri dari anak-anak muda yang dibawa khas dari Pusat Giat Mara Pokok Sena yang melakukan sistem pendawaian semula telah dilakukan di dua blok asrama perempuan di maahad berkenaan.
“Alhamdulillah, syukurlah pada Allah SWT dengan khidmat sukarela yang diberikan. Kami amat berterima kasih atas bantuan yang dianjurkan oleh Majlis Belia Malaysia (MBM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Giat Mara dan semua pihak yang terlibat,” katanya kepada Kedahnews.com di sini, hari ini.
Katanya, bantuan sukarela yang dianjurkan MBM telah membuka mata kepada pihaknya tentang betapa pentingnya pendawaian elektrik yang membabitkan keselamatan dan ancaman yang terpaksa dihadapi sekiranya diabaikan.
Ustaz Zul Azri menjelaskan bahawa dua blok asrama pelajar perempuan yang terbabit dengan pendawaian semula itu adalah merupakan premis lama maahad yang sememangnya perlu penambahbaikan.
Mengulas mengenai sistem pendawaian di blok asrama tersebut, Zulkifli Ahmad yang merupakan tenaga pengajar yang memantau program pendawaian semula itu mengatakan bahawa sistem lama itu tidak selamat untuk digunakan dan perlu dilakukan semula dengan sistem pendawaian yang lebih sistematik.
“Selepas kami periksa, memang agak kurang selamat. Jadi kami buatkan yang baru dan lebih selamat untuk maahad ini,” katanya lagi.
Zulkifli menjelaskan bahawa pihaknya membawa 18 orang sukarelawan yang terdiri dari para pelajar dari Pusat Giat Mara Pokok Sena untuk melakukan pendawaian semula di maahad berkenaan dan beliau sendiri memantau aktiviti pemasangan tersebut.
“Bukan saja beri pengalaman yang praktikal pada pelajar, malah dengan program ini dapat memberi kesedaran kepada mereka tentang rasa tanggungjawab melakukan kerja-kerja amal kepada masyarakat umum,” jelas beliau.
Menurut Presiden MBM Negeri Kedah, Mohd Aizad Roslan, pihaknya akan meneruskan program-program sukarelawan sedemikian di pondok-pondok dan sekolah agama rakyat yang dikenal pasti memerlukan pendawaian semula.
“InshaAllah kami akan usahakan untuk meneruskan program macam ni di pondok-pondok atau sekolah agama rakyat yang memerlukan pendawaian semula di Kedah,” katanya yang turut berterima kasih kepada KBS atas kerjasama baik yang dihulurkan.
MBM dan KBS menganjurkan Konvoi Sukarelawan Merdeka MYVOC Sehati Sejiwa dengan kerjasama MBM Negeri Kedah melakukan program pendawaian semula di Maahad Tarbiah Islamiah Derang di Pokok Sena sejak 28 September lalu dan dijangka berakhir 2 Oktober. -Kedahnews.com
Post a Comment
Mohon Pautkan Link & Saya Akan Pautkan Semula :D