Klang: “Mereka suruh isteri saya minum arak. Tindakan itu amat tidak masuk akal,” kata Muhamad Izuan Mosli, 22, yang mendakwa dibelasah dan disiram air panas oleh sepasang adik-beradik selepas mempertikai perbuatan itu.
Menurutnya, dia dipukul suspek selepas menunjukkan isyarat lucah akibat marah dan enggan membayar wang denda RM3,600 seperti diminta suspek.
Mangsa berkata, kejadian berlaku ketika dia dan isterinya menghadiri majlis sambutan hari jadi seorang rakan di Taman Intan, di sini, yang turut dihadiri dua suspek terbabit pada 15 April lalu.
“Isteri saya yang sedang mengandung mengadu seorang daripada suspek terbabit menyuruhnya meminum arak dengan alasan minuman keras itu baik untuk wanita mengandung.
“Akibatnya saya tidak dapat menahan marah dan secara tidak sengaja menunjukkan isyarat lucah terhadap mereka sebelum beredar meninggalkan majlis,” katanya ketika ditemui wartawan Harian Metro, kelmarin.
Dia berkata, dua suspek terbabit kemudian mahu berjumpa dengannya untuk berbincang berhubung kejadian itu di sebuah restoran berhampiran pusat beli-belah di pusat bandar Klang, di sini, Khamis lalu.
“Saya yang tidak mengesyaki apa-apa kemudian menemui dua suspek itu dengan ditemani isteri.
Namun sangkaan saya meleset apabila dua beradik itu mendesak supaya saya memberi mereka wang RM3,600 sekiranya mahu perkara itu diselesaikan.
“Saya berkeras enggan membayar wang diminta kerana beranggapan ia peras ugut."
Bagaimanapun, seorang daripada mereka terus menyimbah air panas ke arah saya dan memukul saya menggunakan kerusi serta meja tanpa belas kasihan,” katanya.
Menurutnya, isterinya yang cuba membantu turut ditendang di perut hingga terjatuh.
“Orang ramai yang melihat kejadian itu kemudian membantu meleraikan pergaduhan sebelum kedua-dua suspek segera melarikan diri.
Kami kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Kapar,” katanya.
-Harian Metro
Post a Comment
Mohon Pautkan Link & Saya Akan Pautkan Semula :D