cookieOptions = {have some cookies?}

Krisis Lahad Datu : Berperisai Dengan Kalimah Allah!

Monday 25 March 2013 | comments (1)



Dalam keadaan musuh menyerang bertalu-talu dan anggota pasukan komando VAT69 ini membalas tembakan mempertahan diri dan negara, dalam insiden 1 Mac lepas, Kpl Mohamad Asrul Osman tidak sedar rakan di sebelahnya gugur dalam pertempuran selama sejam itu.

Beliau berkata laungan 'Allahhuakbar' menjadi perisai ketika diserang musuh yang jaraknya agak dekat dalam insiden pencerobohan pengganas militan di Lahad Datu, Sabah.

"Ketika pertempuran saya meniarap bersebelahan arwah (Sjn Sabaruddin Daud, 46)...Kami diserang bertalu-talu dan angin daripada tembakan itu memang jelas dirasai betul-betul di sebelah telinga saya.

"Saya tidak sangka tembakan itu mengenai Sabaruddin dan hanya mengetahuinya apabila saya menepuk belakang beliau untuk berundur, tetapi beliau sudah kaku ketika itu," katanya kepada Bernama, di sini hari ini

Mohamad Asrul, 33, berkata beliau cedera pada cuping telinga dan kolar pakaian seragamnya koyak rabak dalam pertempuran yang turut mengorbankan ASP Zulkifli Mamat.

"Meskipun hati sebak melihat rakan gugur, ia tidak menjadi kekangan pada saya untuk meneruskan perjuangan demi membela tanah air," katanya.

Semangat juang yang ditunjukkan pasukan keselamatan negara itu berjaya membunuh 15 musuh.

Beliau berkata kira-kira pukul 5 petang hingga keesokannya harinya (2 Mac) semua pegawai dan anggota diletak dalam keadaan siap siaga bagi menumpaskan pengganas.

"Sehingga kini saya masih terbayang kejadian menimpa Allahyarham," katanya.

Beliau berkata pengalaman bertempur dengan pengganas yang merupakan pengalaman pertama baginya itu, mendidiknya menjadi lebih berani dan sanggup mempertaruh nyawa sendiri demi menjaga kedaulatan negara.

"Saya masuk Komando pada 2003, insiden pencerobohan di Lahad Datu memberi peluang kepada saya merasai sendiri apa apa yang telah orang lama ceritakan mengenai pertempuran dengan komunis dan bagaimana perasaan bertempur dalam
situasi sebenar," katanya.

Mengambil pendekatan untuk tidak merisaukan orang tersayang, Mohamad Asrul berkata beliau memberitahu ibunya bahawa beliau sedang mengikuti kursus.

"Isteri saya pula hanya dimaklumkan bahawa saya terlibat dalam pertempuran ini tetapi tidak pernah memberitahunya apa yang saya lalui termasuk kecederaan yang saya alami," katanya.- BERNAMA
Share this article :

+ comments + 1 comments

Anonymous
30 March 2013 at 22:20

FILIPINA MASIH 'MENYOROK ACE' UNTUK ROYAL FLUSH. ADAKAH MALAYSIA AKAN TERTIPU DENGAN HELAH NYA. DENDAM UNTUK MEMILIKI SABAH MASIH MEMBARA. KIRAM III, NUR MISUARI, MNLF,MILF SERTA ABU SAYAF SERTA 'MUSUH DALAM SELIMUT " DIMALAYSIA ADALAH BUAH CATURNYA. DALANG AND FUNDER SEBENAR SEMAKIN NYATA. HALA TUJU SEMAKIN TERANG.

Post a Comment

Mohon Pautkan Link & Saya Akan Pautkan Semula :D

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Ini Pentas Kita Anak Muda! - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger