cookieOptions = {have some cookies?}

Analisis Pertembungan Getir Kuala Besut

Wednesday, 3 July 2013 | comments



KUALA TERENGGANU - Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pastinya bakal merasai suasana sambutan Aidilfitri lebih awal atau lebih panjang tahun ini, jika pilihan raya kecil (PRK) diadakan dalam bulan Ramadan atau Syawal.

Kerusi DUN berkenaan ditakdirkan kosong semula hanya selepas lebih sebulan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) berlalu apabila penyandangnya, Dr. A Rahman Mokhtar,55, meninggal dunia pagi semalam dan PRK akan diadakan dalam temph 60 hari.

Seminggu sebelum meninggal, Allahyarham yang begitu disenangi penduduk masih meneruskan tugasan akhirnya dengan menyertai sidang Dewan Undangan Negeri biarpun menyedari kesihatannya sudah cukup kritikal ketika itu namun disembunyi kepada umum.

Malah beliau masih ingin mencari kesempatan akhir untuk menemui rakyat di kawasannya dalam satu majlis meraikan kemenangan Barisan Nasional ketika sepatutnya sudah menerima rawatan rapi di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini dengan pengawasan penuh oleh pakar.

Sudah menjadi resam agak 'kejam' dalam politik apabila saat seorang wakil rakyat tenat dan disusuli kematian, soal PRK akan lebih diperkatakan umum.

Pemergian Allahyarham yang memaksa berlakunya PRK pertama selepas PRU-13, merancak permainan politik dengan gendangan yang terus bergema dan tidak berkesudahan di negara ini selepas pilihan raya umum apabila terus diheret berpanjangan oleh pembangkang yang merasa mereka berhak menang.

Sama ada anda berasa cukup jelak, cuak dengan sinario permainan para pemimpin politik yang berterusan mengejar kuasa kini yang mencetuskann fenomena jauh lebih membimbangkan berbanding jerebu, anda terpaksa menerima keadaan ini.

DUN Kuala Besut meliputi kawasan lingkaran pantai dan pulau.

Allahyarham anak Pulau Perhentian dan mengakhiri hayatnya sebagai pemimpin di kawasan tanah besar dan pulau yang mempunyai tautan kuat dengan kehidupannya selama dua penggal.

Jika disorot seimbas lalu, sememangnya Kuala Besut boleh dianggap kawasan kubu UMNO dengan rekod pencapaian PRU 2004 memperlihatkan ia menguasai 60 peratus undi manakala 61 peratus pada 2008 dan 58 peratus dalam PRU 2013.

Penguasaan UMNO ternyata kekal pada tahap seimbang sepanjang tiga penggal PRU di kawasan yang pengundi Melayunya mencecah hampir 99 peratus namun semua itu bersandarkan perjalanan

PRU-13 dan sebahagian rekod khidmat Allahyarham

Kuala Besut di kawasan tradisional Melayu dilihatkan sebagai salah satu medan pertembungan sebenar antara dua parti, UMNO dan Pas untuk menentukan pengaruh di kalangan kaum yang diwakili, bukannya Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang.

PRK kali ini cukup besar maknanya bagi kedua-dua parti di negeri ini walaupun tidak merubah apa-apa di peringkat negara dan dibayangkan menjadi cukup getir kerana bakal menentukan masa depan kerajaan BN di negeri ini yang cuma kekal berkuasa selepas PRU dengan kelebihan dua kerusi.

UMNO mesti mengekalkan kelebihan itu untuk memastikan kerajaan tidak goyah dan dalam keadaan tidak menentu kerana jika kedudukan kerusi seimbang 16-16, buat pertama kalinya kedudukan DUN akan tergantung tanpa sokongan majoriti.

Ini pula kesempatan paling berharga buat Pas yang masih ghairah mengimpikan untuk kembali berkuasa setelah disingkirkan rakyat setelah sepenggal diberi kepercayaan dan cuma memerlukan tambahan sekitar 8 peratus undi untuk memenangi majoriti mudah.

Parti itu juga telah mengemukakan petisyen bagi membantah keputusan bagi kerusi DUN Kuala Besut dan Kuala Berang yang memuncakkan lagi harapan mereka.

Kekosongan yang berlaku mempercepatkan semula peluang Pas untuk kembali berkuasa tanpa perlu menunggu sepenggal lagi kerana jika berupaya menguasai Kuala Besut, kemungkinan DUN boleh dibubarkan dan membuka ruang pilihan raya semula di peringkat negeri.

Ini bagaikan pertembungan antara hidup dan mati dengan kedua-dua belah pihak pastinya akan berhempas pulas dengan mengumpulkan kekuatan jentera parti dari seluruh negara untuk memastikan kemenangan.

PKR kali bukan sekadar suatu pertembungan yang mungkin melebarkan lagi perpecahan umat Islam dan Melayu malah menentukan nasib negeri dan rakyat Terengganu. - UTUSAN ONLINE
Share this article :

Post a Comment

Mohon Pautkan Link & Saya Akan Pautkan Semula :D

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Ini Pentas Kita Anak Muda! - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger