cookieOptions = {have some cookies?}

APMM Temui Tompok Minyak Di Pesisir Pantai Tok Bali

Sunday 9 March 2014 | comments




PASIR PUTEH-- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menemui satu tompokan minyak
yang panjang 100 batu nautika dari pesisir pantai Tok Bali.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia Datuk Mohd Amdan Kurish berkata sebuah kapal peronda milik APMM sudah diarah mengambil sampel minyak itu.

"Sampel itu diambil untuk kita analisis sama ada minyak yang tumpah itu ialah milik pesawat MH370 atau ia milik kapal-kapal yang menggunakan perairan itu," katanya dalam sidang akhbar Misi Pencarian Kehilangan Pesawat MAS di Pejabat Daerah Maritim Tok Bali di sini.

Beliau berkata APMM memberi tumpuan dalam misi itu dengan mengikut jalan udara yang dilalui MH370 dan meninjau sehingga ke kawasan di mana kali terakhir pesawat berkenaan dikesan.

Pesawat MH370, yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi Sabtu bersama 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang dalam perjalanan ke Beijing dan usaha mencarinya sedang dilakukan.


Mohd Amdan juga berkata pihaknya mengarahkan helikopter AW139 milik APMM untuk meninjau perairan Malaysia 90 batu nautika dan ke bawah menuju pesisir pantai Tok Bali bagi memastikan tiada kawasan yang terlepas.

Beliau berkata APMM kini mencari petunjuk jika pesawat itu benar-benar terhempas di dalam perairan Malaysia di Laut China Selatan.

"Jika benar pesawat itu terhempas ke laut, sudah pasti kita akan menemui beg-beg pakaian dan serpihan-serpihan pesawat yang akan terapung," katanya.

Mohd Amdan juga berkata APMM akan menemu bual nelayan yang berpangkalan di Kelantan dan Terengganu bagi meneruskan misi dalam usaha mencari MH370.

Beliau berkata nelayan merupakan satu daripada sumber maklumat APMM bagi mengesan pesawat itu, yang dipercayai hilang di perairan Laut China Selatan.

"Kita akan kerahkan pegawai kita temu bual mulai hari ini kerana nelayan- nelayan mungkin berada di perairan sewaktu kejadian itu berlaku. Kejadian berlaku di awal pagi dan berkemungkinan nelayan berada di laut pada waktu itu," katanya.

Ditanya sama ada APMM akan menambah bilangan aset dalam misi pencarian ini, Mohd Amdan berkata pihaknya telahpun memaksimumkan penggunaan aset milik agensi berkenaan.

APMM turut dibantu enam kapal milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan dua kapal milik kerajaan Singapura, katanya.

Beliau berkata APMM telahpun memantau 100 peratus kawasan perairan Malaysia di Laut China Selatan pada hari kedua misi mencari pesawat yang hilang itu.

Bagaimanapun, Mohd Amdan tidak menolak kemungkinan MH370 terhempas di kawasan perairan Vietnam berikutan laporan penemuan tompokan minyak oleh pihak operasi Vietnam.

-- BERNAMA


Share this article :

Post a Comment

Mohon Pautkan Link & Saya Akan Pautkan Semula :D

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Ini Pentas Kita Anak Muda! - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger