PETALING JAYA- Membeli kereta nampaknya lebih menjadi keutamaan bagi kebanyakan anak muda yang menceburi bidang pekerjaan kebelakangan ini berbanding membeli rumah.
Mungkin, mereka berbuat demikian kerana mendapati membeli kereta yang memenuhi gaya hidup mereka, lebih murah daripada membeli rumah.
Bagaimanapun, bekas presiden Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah (Rehda) Datuk Ng Seing Liong berpendapat trend itu perlu diubah.
"Membeli harta, seperti sebuah rumah mampu milik, sepatutnya lebih menjadi keutamaan golongan muda dan mereka tidak seharusnya menghakiskan nilai gaji mereka dengan membeli kereta," katanya kepada Bernama di Wisma Rehda di sini Isnin.
Justeru, beliau menganjurkan agar golongan muda mula membeli harta apabila mula bekerja, terutama di kawasan yang menjadi pilihan ramai.
"Saya difahamkan bahawa kereta merupakan suatu keperluan bagi generasi muda, tapi ingatlah, harga harta akan sentiasa meningkat. Anggaplah ini sebagai suatu bentuk pelaburan dan gunalah kemudahan pengangkutan awam," katanya.
Ng berkata sebenarnya, rumah mampu milik banyak dibina di luar kawasan yang mempunyai permintaan tinggi.
"Lazimnya, harga lebih tinggi di 'kawasan panas', tapi ia seolah-olah mencerminkan keadaan keseluruhan pasaran. Jika dilihat secara keseluruhan, seperti di Melaka, Pahang dan Kelantan, harganya masih di tahap yang mampu mereka miliki," katanya.
Beliau berkata nilai harta meningkat mungkin kerana "orang bukan sahaja membeli rumah, tetapi juga membeli gaya hidup yang datang bersamanya".
Menurut Kaji Selidik Industri Harta Rehda bagi tempoh separuh pertama tahun ini, lima 'kawasan panas' teratas di Lembah Klang ialah Puchong, Cheras, Kota Damansara, pusat Bandaraya Kuala Lumpur dan Shah Alam, dengan harta tanah menduduki tempat teratas, diikuti kondominium dan pangsapuri.
Sementara itu, timbalan setiausaha agung Rehda Datuk Anthony Cho Tian Han berkata rumah kos rendah semakin hilang daya tarikan kerana arah aliran terkini menunjukkan orang sanggup berbelanja lebih untuk membeli rumah yang selesa, yang mempunyai lebih banyak bilik tidur dan ruang tamu lebih luas.
Katanya Rehda bersedia berjumpa dengan pihak berkuasa berkenaan untuk mencari penyelesaian demi manfaat pengguna.
-- BERNAMA
Post a Comment
Mohon Pautkan Link & Saya Akan Pautkan Semula :D