cookieOptions = {have some cookies?}

Tips Berguna Untuk Temuduga.

Thursday 10 October 2013 | comments


Isi dan gaya perlu seimbang

DARI semasa ke semasa, kita berdepan dengan temuduga, sama ada temuduga untuk kerja, tugasan atau anugerah. Untuk menghadapi temuduga, kita perlu tampil dalam keadaan terbaik. Walaupun tiada resepi yang pasti, ada beberapa perkara yang baik untuk diperhatikan.

Pertama, saya percaya pada hikmah silam dictum esse quam videri – isi lebih penting daripada kulit.

Bagaimanapun, pengalaman mengajar kita bahawa dalam kehidupan, yang batin dan yang zahir sama penting. Begitu juga antara realiti dan penampilan, serta isi dan gaya. Kita bukan saja perlu ‘berisi’, tapi juga tampak berisi!

Atas sebab inilah kita perlu bersedia untuk mempamerkan pencapaian kita dan menampilkan diri sebagai calon terbaik untuk sesuatu pekerjaan. Bagaimanapun, kita tidak boleh menipu kerana rekod kita mungkin dimaklumi oleh penemuduga. Sejarah pencapaian peribadi dan dakwaan kita tentang perkara-perkara yang mampu kita lakukan adalah sama penting.

Kedua, sebelum menghadiri temuduga, siapkan CV yang menarik beserta gambar berwarna. Tonjolkan perkara-perkara terbaik dan terkini terlebih dahulu di halaman-halaman awal CV. Sertakan satu halaman ringkasan pencapaian terpenting dalam kehidupan anda. Halaman inilah yang akan dibaca oleh penemuduga!

Kemukakan juga beberapa nama yang sesuai sebagai rujukan. Kepilkan bukti pencapaian dan penghargaan yang pernah anda terima. Penemuduga akan menilai sama ada anda seorang jaguh kampung atau seorang peneraju dalam bidang kerjaya anda.

Ketiga, siapkan kenyataan pembuka yang menarik dan menonjolkan minat mendalam anda terhadap jawatan yang sedang anda pohon. Kenyataan pembuka ini akan menonjolkan keupayaan anda.

Keempat, biasanya pengerusi panel penemuduga akan membenarkan calon memberikan kenyataan penutup. Untuk tujuan ini, sediakan ucapan penutup yang menonjolkan perkara-perkara yang anda ingin penemuduga ketahui.

Kelima, cari maklumat tentang organisasi yang akan menemuduga anda, jawatan yang anda pohon, ganjaran yang anda inginkan, dan orang-orang yang berkemungkinan akan menemuduga anda. Pengetahuan yang mampu menarik perhatian mereka akan membolehkan anda mengagak arah perbincangan dalam temuduga.

Keenam, buat agakan dan bersedia untuk menjawab soalan-soalan yang mungkin dikemukakan. Sebagai contoh:

“Jelaskan tentang diri anda. Apakah pengalaman bekerja yang anda miliki? Apa kekuatan dan kelemahan anda? Apakah kejayaan penting yang pernah anda capai?

“Bagaimana anda melihat diri anda sendiri? Bagaimana anda berdepan dengan tekanan? Berapa banyak buku atau rencana pernah anda tulis? Apakah anda memegang jawatan dalam apa-apa badan profesional? Mengapa anda memohon untuk pekerjaan/ kenaikan pangkat/ biasiswa/ geran ini dan sebagainya?”

Ketujuh, pihak penemuduga sudah tentu mahu tahu sumbangan yang boleh anda berikan terhadap organisasi mereka. Apa yang mampu anda lakukan yang tidak mampu dilakukan oleh orang lain? Apakah tindakan tepat yang telah dilaksanakan oleh organisasi? Pada sudut mana penambahbaikan boleh dibuat? Bagaimana organisasi boleh menangani persaingan dan mengatasi pesaing? Apakah masa depan yang anda bayangkan untuk organisasi dan diri anda sendiri? Apakah trend yang anda jangka akan muncul? Apakah idea anda tersusun dan mampu anda kemukakan dengan lancar? Jawapan yang sistematik selalunya menarik perhatian penemuduga.

Kelapan, sediakan beberapa soalan kalau-kalau penemuduga memberi peluang untuk anda mengemukakan soalan. Jika peluang itu tidak diberi, minta izin untuk mengemukakan beberapa komen yang telah anda susun dengan teliti. Hindari soal gaji dan terma-terma lain, melainkan anda diminta untuk menyatakan terma anda.

Kesembilan, cuba untuk menyelidiki format temuduga. Sesetengah temuduga memerlukan anda membuat pembentangan. Jika perlu, pastikan pembentangan anda tidak terlalu sederhana. Pembentangan anda perlu mengandungi idea baru yang mampu menarik perhatian penemuduga. Elakkan daripada membuat pembentangan yang terlalu teknikal. Tidak semua penemuduga datang dari bidang keahlian yang sama dengan anda.

Kesepuluh, penampilan anda, misalnya baju, rambut, dan kasut, harus sesuai. Tanggapan pertama biasanya memberi kesan. Hindari pakaian yang pelik, sebaliknya bersederhana.

Kesebelas, sapa para penemuduga dengan mesra di awal temuduga. Jangan memberi tumpuan hanya kepada seorang penemuduga. Jika anda mempunyai CV atau bahan penerbitan yang ingin anda tunjukkan, minta izin daripada pengerusi panel penemuduga untuk mengedarkannya kepada penemuduga-penemuduga yang lain.

Jangan duduk sehingga anda diminta untuk berbuat demikian. Jika pengerusi terlupa, minta dengan sopan, “Boleh saya duduk?”

Kedua belas, tunjukkan sikap positif dan minat terhadap apa juga perkara yang ditanya. Tonjolkan komitmen, keghairahan, semangat, dan tekad untuk mencapai matlamat anda. Berbanding kebolehan, sikap anda akan lebih menentukan kedudukan anda. Sikap yang positif perlu disemai dan dituai. Ia perlu dihidupkan dari dalam kerana ia tidak akan menyala dengan sendiri.

Ketiga belas, jika anda telah menyediakan kenyataan pembukaan, nyatakannya sebelum anda menjawab soalan pertama. Awal yang baik akan menghasilkan akhiran yang baik juga.

Keempat belas, dengar dengan teliti setiap satu pertanyaan. Pastikan mata anda sentiasa melihat penyoal. Jika soalan tidak jelas, minta dengan sopan agar ia diulang. Berikan jawapan dalam ayat yang penuh dan tidak terputus-putus. Jangan teragak-agak sewaktu memberikan jawapan. Kemahiran komunikasi adalah senjata paling penting dalam temuduga dan juga jika anda memegang peranan kepimpinan di masa depan. Adakala cara anda menyampaikan sesuatu adalah lebih penting daripada isi yang ingin anda sampaikan!

Kelima belas, bersikap pro-aktif dengan menyelitkan maklumat yang mampu menonjolkan pencapaian anda. Bagaimanapun, jangan berlebihan. Bersikap jujur tentang batas kemampuan anda, nyatakan bagaimana anda akan memperbaiki diri dan tunjukkan tekad bahawa anda tidak akan membiarkan kekurangan itu menghalang anda untuk maju.

Keenam belas, jangan tawar hati jika dikemukakan dengan pertanyaan-pertanyaan yang kasar. Adakalanya pertanyaan sedemikian dikemukakan untuk menguji sifat anda. Kata Hemingway: “Courage is grace under pressure.” Orang yang berani adalah orang yang teguh ketika berdepan tekanan. Kesabaran menunjukkan kekuatan.

Ketujuh belas, gunakan bahasa yang sama yang digunakan oleh penemuduga, kecuali jika penemuduga meminta anda menggunakan bahasa tertentu.

Kelapan belas, jangan mengeji bekas majikan, organisasi atau rakan-rakan sekerja anda.

Kesembilan belas, ucapkan terimakasih kepada setiap penemuduga di hujung sesi dan akhiri dengan kenyataan penutup.

Akhir sekali, jangan patah hati jika gagal. Jangan putus asa. Yang lebih membezakan antara orang yang berjaya dan orang yang gagal adalah tekad dan ketabahan mereka, bukan kebolehan.

Teruskan memasang impian. Banyak realiti yang bermula sebagai mimpi. Bagaimanapun, jangan pula memasang angan-angan seperti Mat Jenin. Langkah perlu diambil. Ingat Kipling: “If you can dream but not make dreams your master. If you can think but not make thoughts your aim” (Bermimpilah, tetapi jangan jadikan mimpi anda tuan. Berfikirlah, tetapi jangan jadikan pemikiran anda sebagai matlamat.)

Oleh: Shad Saleem Faruqi - Profesor Emeritus Undang-undang di UiTM. 
*Pandangan yang diungkapkan di sini adalah pandangan penulis sendiri sepenuhnya.
Share this article :

Post a Comment

Mohon Pautkan Link & Saya Akan Pautkan Semula :D

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Ini Pentas Kita Anak Muda! - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger