cookieOptions = {have some cookies?}

Mukhriz Seru Anak Muda Kekalkan BN Di Besut

Friday 19 July 2013 | comments



KUALA BESUT-- Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir meminta pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut mengekalkan pemerintahan Terengganu di bawah Barisan Nasional (BN) dengan memilih BN pada pilihan raya kecil DUN itu 24 Julai ini.

"Oleh kerana sudah ada yang baik-baik di negeri Terengganu ini, sehinggakan kami dari Kedah dan negeri-negeri lain pun datang untuk belajar dengan Terengganu, maka saya rasa tidak ada sebarang keperluan untuk penduduk negeri ini menukar kerajaan.

"Kami lihat kerajaan BN Terengganu adalah satu kerajaan yang begitu progresif dan mempunyai wawasan serta pendekatan luar kotak yang telah berjaya melonjakkan negeri ini ke tahap jauh lebih baik berbanding terdahulu termasuklah bidang pendidikan," katanya kepada pemberita selepas melawat Bilik Gerakan Kedah.

Beliau turut menyampaikan wang zakat kepada lebih 100 penerima dari Kampung Air Terjun dekat sini Jumaat.

Mukhriz juga berkata, Kedah akan mencontohi teknik pendidikan Terengganu terutama dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) sehingga mencatat keputusan cemerlang untuk 11 tahun berturut-turut.

Selain itu, Terengganu juga membuktikan keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) paling cemerlang empat tahun berturut-turut dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tiga tahun berturut-turut.

Mukhriz turut menaruh keyakinan terhadap perwatakan dan peribadi calon BN pada pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman untuk membawa kemenangan pada 24 Julai ini.

"Oleh kerana saya difahamkan pengundi muda di sini sebanyak 54 peratus, saya yakin dengan pendekatan secara terus dan perwatakannya yang rendah diri itu mampu menarik pengundi terutama golongan muda," katanya.

Mukhriz turut melawat seorang warga emas, Hasan Ali, 68 serta bersolat Asar di rumah bekas bendahari PAS Gong Penaga.

-- BERNAMA
Share this article :

Post a Comment

Mohon Pautkan Link & Saya Akan Pautkan Semula :D

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Ini Pentas Kita Anak Muda! - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger